Kem Sekolah Rimba di DURUS – Pengalaman Alam Semula Jadi Yang Bermakna

Pada 7 hingga 9 Februari 2025, DURUS Countryside telah menganjurkan Kem Sekolah Rimba, program 3 hari 2 malam yang direka khas untuk anak-anak sempena cuti persekolahan.

Kem ini bertujuan untuk membentuk jati diri, melatih kemahiran survival, meneroka alam, mengeratkan ukhuwah sesama rakan, dan mengurangkan kebergantungan kepada gajet. Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk merasai pengalaman berinteraksi dengan kuda serta menunggangnya.

Hari Pertama: Pengenalan dan Aktiviti Ice Breaking
Kem bermula dengan sesi pendaftaran pada jam 2 petang di Restoran Kopie Chenta sebelum peserta dibawa ke DURUS untuk daftar masuk penginapan. Sesi pertama dimulakan dengan aktiviti ice breaking, di mana peserta diperkenalkan kepada rakan-rakan baru dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan perlu menamakan kumpulan mereka dengan tema alam serta mencipta tagline unik yang mencerminkan semangat pasukan mereka.
 
Selepas minum petang, peserta menyertai aktiviti riadah petang, yang membantu mereka bersedia secara fizikal dan mental untuk cabaran yang bakal mereka hadapi. Apabila matahari terbenam, peserta berhenti seketika untuk solat Maghrib dan sesi tazkirah, sebelum menikmati makan malam. Hari pertama diakhiri dengan rehat secukupnya, kerana jadual hari kedua yang lebih padat menanti mereka.
Hari Kedua: Cabaran Fizikal dan Survival Skills
Seawal Subuh, peserta bangun untuk solat berjemaah dan sesi tazkirah pagi. Sebelum sarapan, mereka melakukan senaman pagi bagi meningkatkan kecergasan tubuh.
 
Aktiviti pertama ialah Mini Hiking, di mana peserta mendaki bukit di kawasan Dusun Durian Musang King sambil menikmati keindahan pemandangan di DURUS dari puncak bukit. Pendakian ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, tetapi juga memberikan mereka pengalaman mendekati alam secara langsung.
 
Setelah turun dari bukit, peserta diberikan minuman ringan sebelum meneruskan aktiviti Survival Skills. Dalam aktiviti ini, mereka diajar teknik menghidupkan api, termasuk mengumpul kayu api mengikut kategori dan menghidupkan api dalam tempoh yang ditetapkan. Cabaran diteruskan dengan membakar ikan talapia menggunakan bara api yang telah mereka nyalakan sendiri. Aktiviti ini mengajar mereka tentang ketahanan diri dan kebergantungan kepada sumber semula jadi.
 
Selepas rehat, solat Zuhur, dan makan tengah hari, peserta meneruskan aktiviti dengan Archery Fun Shot. Mereka diberikan penerangan tentang teknik memanah, cara memasang busur, serta kaedah terbaik untuk membidik sasaran sebelum mencuba sendiri aktiviti ini.
 
Seterusnya, peserta menyertai aktiviti memancing ikan air tawar. Mereka diajar teknik menggunakan mata kail dan memasang umpan, sebelum mencuba kemahiran memancing mereka sendiri.
 
Pada sebelah malam, selepas solat Maghrib dan makan malam, peserta mempelajari teknik memasang khemah, diikuti dengan aktiviti campfire. Malam mereka dihidupkan dengan nyanyian, permainan, dan sesi cerita, mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan.
 
Kemudian, peserta menyertai sesi mencerap bulan dan bintang menggunakan teleskop, satu pengalaman luar biasa yang memperkenalkan mereka kepada keindahan angkasa lepas. Sebelum tidur, mereka mengakhiri malam dengan Night Walk, di mana mereka menjelajah kawasan DURUS dalam suasana malam yang sunyi, memberikan mereka pengalaman unik dalam menghargai alam pada waktu malam.
Hari Ketiga: Pengalaman Berkuda dan Lawatan
Hari terakhir dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan sesi tazkirah, diikuti dengan sarapan pagi.
 
Selepas itu, peserta mengambil bahagian dalam senam robik sebelum memulakan aktiviti Sunnah Berkuda. Mereka diberi penerangan mendalam tentang penjagaan kuda, teknik menunggang, serta keunikan haiwan ini sebelum berpeluang menikmati Joyride, iaitu menunggang kuda sambil mengelilingi kawasan DURUS.
 
Sebelum program berakhir, peserta dibawa melawat kawasan pertanian dan penternakan di DURUS, termasuk tanaman sayur-sayuran, ternakan ikan keli dan talapia, serta ternakan lobster air tawar.
 
Kem ini diakhiri dengan majlis penutup, sesi bergambar, serta penyampaian cenderamata kepada peserta sebagai kenangan.
 
Peserta kemudian bersiap untuk pulang dan dijemput ibu bapa mereka di Kopie Chenta Restoran.
 
Kesimpulan
Kem Sekolah Rimba di DURUS Countryside bukan sekadar kem biasa. Ia adalah satu pengalaman mendidik, mencabar, dan menyeronokkan yang memberikan anak-anak ilmu survival, interaksi dengan alam, serta kemahiran baharu yang tidak dapat dipelajari di dalam bilik darjah.
 
Kami berharap pengalaman ini dapat memberikan impak positif kepada mereka, dan kami menantikan kedatangan peserta pada kem seterusnya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *