Durus bakal jadi destinasi Agro Percutian Bersepadu

Muallim: Dusun Resort Ulu Slim (Durus) Muallim, Perak bakal menjadi destinasi Agro Percutian Bersepadu yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik.
 
Pengarah Durus, Daniel Esfahan Irwan, 23, berkata, Durus adalah projek terbesar di Muallim menggabungkan pelbagai elemen sekali gus bakal menjadikan ia destinasi percutian yang berbeza.
 
Katanya, mengambil maksud ‘bersepadu’, projek itu menggabungkan semua elemen termasuklah penternakan, pertanian, percutian dan beberapa perkhidmatan lain.
 
“Antara perkhidmatan utama yang ditawarkan di Durus adalah tempat percutian kuda.
 
“Ini bermakna apabila pemain sukan polo mahu merehatkan kuda mereka selepas terbabit dalam perlawanan, mereka boleh menjadikan Durus sebagai lokasinya.
 
“Kita juga akan menyediakan perkhidmatan untuk pemilik kuda membabitkan golongan atasan sehingga pihak korporat meletakkan kuda mereka di sini untuk berehat,” katanya.
 
Daniel Esfahan yang juga Pengarah Arasy Ekuestrian berkata, pembangunan kawasan seluas kira-kira 40.4 hektar itu akan dijalankan secara berperingkat dan untuk fasa pertama, ia akan memfokuskan kepada ekuin kuda.
 
Katanya, pihaknya kini dalam perancangan untuk menjadikan menjadikan Durus sebagai lokasi untuk mengadakan sukan endurance tahunan.
 
“Selain merancang untuk membina ‘indoor’ mini polo, kita juga akan menjadikan Durus ini sebagai tempat pembiakan kuda.
 
“Baka kuda terbaik di sini juga adalah datang dari Argentina, New Zealand dan sebagainya,” katanya yang baru saja pulang dari Argentina bagi mendalami ilmu mengenai kuda.
Ditanya bagaimana tercetusnya idea yang menggabungkan pelbagai elemen dalam pembangunan Durus ini, Daniel Esfahan berkata, ia didorong oleh keinginan menawarkan lokasi percutian yang berbeza lebih-lebih lagi pihaknya mempunyai pelbagai cabang sektor perniagaan dan kemahiran.
 
Menurutnya, dengan menggabungkan kesemua keunikan dan kekuatan yang dimiliki dalam semua sektor, apa yang diimpikan ini pastinya akan berhasil sekali gus menjadikan Durus destinasi percutian agro yang terkemuka di negeri itu.
 
“Pengunjung nanti bukan saja boleh berkuda tetapi berpeluang menikmati percutian agro yang cukup mendamaikan dengan kehijauan bukit bukau serta sayur-sayuran segar yang akan ditanam di sini.
 
“Bagi penggemar durian, mereka juga pastinya akan teruja apabila berkunjung ke sini kerana kita merancang untuk menjadikan Ulu Slim ini sebagai Hub Durian.
 
“Jadi untuk mencapai objektif itu, kini sudah menanam 1,000 pokok durian pelbagai jenis,” katanya.
 
Percutian pastinya tidak akan lengkap tanpa penginapan.
 
Oleh itu, Durus juga dalam usaha membina chalet yang terdiri daripada beberapa kategori bermula chalet biasa hingga mewah berbentuk kayu mahupun konkrit.
 
Lebih 150 chalet kayu, vila mewah, rumah kelab dan rumah makan yang berteraskan ciri kemelayuan kini dalam proses pembinaan secara berperingkat.
 
Dengan siapnya kesemua chalet itu nanti yang dijangka mengambil masa selama dua tahun, Durus juga bakal menjadi lokasi melakukan pelbagai acara keramaian termasuklah jamuan makan tahunan syarikat, majlis perkahwinan, lokasi perhimpunan kelab persilatan atau persatuan, lokasi penggambaran filem dan banyak lagi.
Selain menawarkan percutian ekuin dan agro, Durus juga bakal menjadi tumpuan terutama bagi pencinta astronomi.
 
“Satu lagi keunikan yang terdapat di Drus ini adalah ia adalah lokasi laluan jajaran bintang.
 
“Pemandangan waktu malam akan menjadi cukup indah apabila langit cerah kerana ia akan taburan beribu bintang yang indah.
 
“Selain menyediakan teleskop, kami juga menawarkan pendidikan atau maklumat mengenai bintang kepada pengunjung,” katanya.
 
Sebagai nilai tambah pelancongan di sini, Durus juga akan menawarkan khidmat nasihat dan kursus kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan tanah mereka. Kursus ternakan dan pertanian juga turut ditawarkan.
 
Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2031.
 
Bagaimanapun, untuk fasa pertama yang membabitkan 20 peratus dari kira-kira 40 hektar tanah yang ada dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.
 
“Bagi mengekalkan alam semula jadi, hanya 20 peratus saja kawasan yang akan dibangunkan untuk tujuan infra.
 
Selebihnya akan dijadikan tapak pertanian dan penternakan.
 
“Kita juga dalam perancangan untuk menghasilkan tenaga hijau. Menerusi projek ini, ia akan menjadi yang pertama menghasilkan tenaga solar yang terbesar,” katanya.
 
Disiarkan pada: Januari 18, 2023 @ 11:24am

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *