Projek tanaman 1000 pokok Durian Musang King di DURUS Countryside
Daerah Muallim, Perak bakal muncul sebagai antara pusat pengeluaran durian premium terutama Musang King dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Kawasan tanaman berbukit dan berteres dijangka mampu menghasilkan durian premium bermutu tinggi sama ada untuk pasaran tempatan atau luar negara.
Sebanyak 1,000 pokok durian Musang King ditanam di kawasan tanah seluas 43 hektar membabitkan tiga fasa di Kampung Pasir, Slim River.
Pengerusi Koperasi Arasy Slim River Berhad (Ko-Arasy), Muhammad Nuruddin Amiron berkata, sekarang baharu masuk fasa pertama membabitkan 400 anak pokok Musang King bermula pada sekitar pertengahan Jun lalu.
Bagaimanapun, di peringkat awal penyelidikan dan pembangunan (R&D) 200 pokok ditanam sebagai percubaan pada dua tahun lepas.
Katanya, anak pokok durian ditanam rata-rata sudah berusia enam bulan ke atas dan mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang sehingga ke usia matang pokok.
“Pokok durian ditanam di kawasan bukit berteres dan lengkap dengan sistem pengairan melalui kolam tadahan serta air dipam ke setiap teres menggunakan saluran paip menerusi teknik pancuran berjadual.
“Malah, pokok dijaga dan dibaja secara berkala bagi memastikan tumbesaran baik anak pokok,” katanya.

Projek tanaman itu usahasama sepenuhnya Bumiputera Melayu terdiri daripada syarikat Arasy Eco Dusun, Dusun Resort Ulu Slim (Durus), Akademi Usahawan Muda Islam (Aumi) dan Koperasi Arasy Slim River Berhad (Ko-Arasy) selaku pihak pengurusan projek.
Seramai 60 ahli koperasi terdiri daripada pelatih belia dan beliawanis Aumi terbabit dalam projek tanaman berkenaan.
Muhammad Nuruddin berkata, pembabitan golongan muda dalam projek itu bakal memberi impak positif, pendedahan ilmu dan membina masa hadapan mereka dalam sektor pertanian.
“Pelatih akademi didedahkan dari peringkat awal penanaman, penjagaan sehingga pokok durian terbabit mengeluarkan hasil.
“Dalam tempoh jangka masa berkenaan sudah tentu pelatih dapat mempelajari secara khusus cara dan teknik tanaman durian serta membuka minda niaga keusahawanan kepada mereka untuk membina kehidupan dan manfaat dalam bidang pertanian khususnya dusun durian.” katanya.
Dia berkata, usaha berkenaan dapat membuka mata golongan muda akan kepentingan sektor pertanian yang juga mampu menjana pendapatan tinggi, selain penghasilan produk makanan berasaskan durian jika diusahakan dengan secara konsisten dan bersistematik.

Dalam aspek pelancongan, projek dipercayai mampu menarik lebih ramai pengunjung ke daerah ini, sekali gus merancakkan agro pelancongan bersepadu.
“Kita sedia maklum sektor agro pelancongan di negara kita saban hari semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong luar negara mahupun tempatan.
“Sehubungan itu, projek berkenaan secara tidak langsung bukan dapat merancakkan sektor agro pelancongan dan menarik pengunjung ke daerah ini,” katanya.
Katanya, durian premium lain juga ditanam sebagai variasi atau pilihan kepada pengunjung selepas projek berkenaan berhasil kelak.
Disiarkan Harian Metro pada: Ogos 25, 2024 @ 6:20am